Cuti-cuti begini, memang ramailah ibu ayah yang bawa anak pergi bercuti, terutamanya di taman tema air, resort, hotel, atau mana-mana tempat yang terdapat kolam-kolam awam.

Bagi anak kecil yang belum bercerai lampin, ibu ayah mungkin menganggap pemakaian lampin pakai buang atau ‘disposable diaper’ adalah sesuatu yang selamat. Yalah, kalau anak ‘ter’buang air besar dalam kolam, haru-biru pula dibuatnya!

Tapi tahukah anda bahawa tindakan memakaikan anak dengan lampin pakai buang ini sebenarnya adalah bertentangan dengan keperluan sanitari dan keselamatan di kolam awam tersebut?

Ini sebabnya.

5 SEBAB JANGAN PAKAIKAN ‘PAMPERS’ PADA ANAK KECIL SEMASA MANDI DI KOLAM AWAM

1. LAMPIN PAKAI BUANG MEMPUNYAI KUASA SERAPAN YANG TINGGI

Salah satu faktor keselamatan yang dititikberatkan oleh kolam renang adalah non-absorbency atau ciri yang tidak menyerap cecair. Seperti yang kita tahu, semua lampin pakai buang menjadikan kebolehan untuk menyerap cecair sebagai salah satu major selling point mereka.

Kita sendiri boleh nampak bagaimana lampin pakai buang ini akan menjadi kembang dan berat apabila ia dipenuhi dengan air kolam. Hal ini bukan saja membataskan pergerakan anak, malah boleh menjadi bahaya jika anak ‘tertarik’ dan terjatuh ke dalam air.

2. IA BERPOTENSI UNTUK TERTANGGAL / TERKOYAK

Oleh kerana kebolehan menyerap yang sangat baik, kebanyakan lampin pakai buang ini amat berpotensi untuk tertanggal atau terkoyak.

Ini ditambah pula dengan kelasakan anak-anak yang teruja untuk bermain air sambil berlari dan melompat-lompat.

3. MENCEMARKAN AIR SERTA PERSEKITARAN KOLAM

Apabila ianya longgar atau tertanggal di dalam kolam, maka sudah tentulah ia akan menjadi punca pencemaran air.

Menurut Public Health Malaysia, 60% sampel air dari 160 kolam renang awam mengandungi pencemaran najis serta positif untuk bakteria E.coli.

4. MENJADI PUNCA PENYEBARAN PENYAKIT

Pencemaran air akibat najis ini boleh menjadi punca penyakit yang merbahaya, terutamanya bagi anak kecil. Antara penyakit yang serius adalah Rotavirus, di mana ia amat mudah menjangkiti sesiapa yang termakan, terminum, atau tersentuh objek yang telah tercemar.

5. ‘SWIM DIAPER’ LEBIH SESUAI

Buat pengetahuan ibu bapa, terdapat sejenis lampin khusus yang boleh anda pakaikan kepada anak kecil yang masih belum bercerai lampin.

‘Swim diaper’ ini boleh didapati dengan mudah di pasaraya serta dijual secara meluas di Malaysia secara online. Penggunaan ‘swim diaper’ ini adalah lebih selamat dan bersih kerana ia direka khas untuk tujuan tersebut.

Dalam pada itu, sama ada memakai ‘swim diaper’ atau tidak, ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak yang mempunyai gejala cirit-birit, muntah, demam, atau sakit perut daripada mandi-manda di kolam awam.

JANGAN PANDANG REMEH, INI TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Diharapkan ibu bapa lebih peka dan mengambil tahu akan langkah keselamatan serta kebersihan ini dengan mengelakkan penggunaan lampin pakai buang di kolam-kolam awam.

Jangan pentingkan diri, tindakan yang dipandang remeh ini mungkin boleh mendatangkan bahaya kepada anak anda sendiri dan juga kanak-kanak yang lain.

Jadi, sama-samalah kita share dan ambil tahu ya!

TINGGALKAN KOMEN